Tuesday, August 4, 2009

Aktiviti PERMATA sesi 2009/2010


Sesi 2009/10 ini PERMATA telahpun melakukan beberapa aktiviti bermula dengan Mesyuarat Agung Tahunan yang telah membariskan pimpinan-pimpinan PERMATA untuk sesi ini. Kemudian, aktiviti yang terawal dilakukan semasa cuti semester yang lepas iaitu pada 31 Mei, 1 dan 2 Jun 2009 bertempat di Sekolah Menengah Agama Nurul Ittifaq, Kuala Besut, Terengganu. Program ini berbentuk motivasi telah melibatkan 25 orang ahli PERMATA termasuk YDP PERMATA sendiri telah turun padang untuk menjayakan program yang dinamakan KEM JATI DIRI MUSLIM (JIM 09). Kem ini telah disertai oleh pelajar-pelajar tingkatan enam sekolah SMKANI yang akan mengambil peperiksaan STPM pada tahun ini. Kami mendapat respon serta reaksi yang baik daripada pihak sekolah dan mereka mengalu-alukan kedatangan untuk masa-masa yang akan datang. Semoga adik-adik mendapat kejayaan yang cemerlang dalam STPM yang bakal menjelma tidak lama lagi.

Semester 1 sesi 09/10 yang dilalui pada waktu ini telah menunjukkan bahawa PERMATA ingin meneruskan misi dan visi yang telah digariskan sebelum ini. Dengan tema “Perpaduan Teras Keunggulan” PERMATA terus mengorak langkah dengan membuka gerai PROMO iaitu bertujuan untuk mempromosi persatuan. Dengan keahlian yang bertambah daripada sebelum ini menunjukkan bahawa tema kali ini akan dapat dicapai sekiranya momentum ini diteruskan hingga ke hujung sesi. Moga dipermudahkanNYA.

Gerai PERMATA telah memenangi kategori gerai terbaik dan mendapat ganjaran yang sangat lumayan. Alhamdulillah. Semuanya berkat kerjasama daripada semua pihak dalam memastikan PERMATA unggul di hadapan. Namun, bukanlah bermaksud persatuan lain ketinggalan bahkan setiap persatuan mempunyai tarikan serta kelebihan tersendiri yang begitu unik.

Baru-baru ini, PERMATA sekali lagi meneruskan aktivinya dengan menyertai aktiviti yang dianjurkan oleh PESAT (Persatuan Anak-Anak Terengganu Wilayah Persekutuan dan selangor). 1 T 3 F iaitu 1 Terengganu, Food, Fruit dan Festival telah menarik ramai hadirin terutama dengan kehadiran Menteri Besar pada malam 1 Ogos.

Untuk seterusnya, PERMATA akan meneruskan aktiviti pada 8 Ogos ini dengan mengadakan hari interaksi. Jika tiada perubahan, hari interaksi akan diadakan di Taman Jaya berdekatan Amcorp Mall. Kepada semua ahli permata yang telah mendaftar, jangan lupa hadir kerana banyak aktiviti menarik yang menanti anda. Interaksi dalam PERMATA amat penting untuk kita meneruskan gerak kerja pada masa akan datang. Semoga aktiviti-aktiviti seterusnya akan berjalan lancar.

“PERPADUAN TERAS KEUNGGULAN”

0 comments:

Post a Comment